Sabtu, 16 Januari 2016


Di Tempat Yang Tak Terduga

Kesaksian oleh Sim Patrik – Malaysia

Salam semua. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana kesempatan ini diberikan untuk kita sama-sama berbagi kesaksian guna menguatkan iman percaya kepada Yesus.

Terlebih dahulu saya ingin menceritakan sedikit sebanyak tentang diri saya. Saya, seperti yang dinyatakan dalam profile di atas, adalah seorang dari warga negara Malaysia. Saya juga adalah seorang yang cacat penglihatan.
Saya pada mulanya bukanlah seorang kristen. Tetapi Tuhan menempatkan saya di tempat yang tidak pernah saya duga. Apa yang saya sering bayangkan ialah ketakutan baik dalam hidup mahu pun selepas meninggal dunia ini. Dalam hidup saya sering menghadapi ketakutan bilamana berhadapan dengan orang lain, takut melakukan sesuatu yang diamanahkan kerana takut diejek dan juga ditolak.

Manakala bayangan saya tentang kematian pula ialah saya sering kali memikirkan apakah yang akan terjadi kepada tubuh yang sekarang ini. Tentu sahaja hidup ini sebenarnya tidak mempunyai tujuan, bisik hati dalam saya.

Namun demikian, Tuhan itu amatlah baik dan tersangat baik bagi saya sehinggalah saya diselamatkan dengan cara yang tidak saya duga. Tuhan nampaknya memakai kegemaran harian saya untuk Dia menyatakan diri-Nya kepada saya. Untuk pengetahuan semua, kegemaran saya antara lain ialah mendengar radio, terutama siaran dari luar dengan menggunakan gelombang pendek [short wave radio].

Ini sering saya lakukan pada waktu petang selepas sahaja saya pulang dari sekolah pada waktu itu. Di dalam saya berjinak-jinak mendengar siaran dari gelombang ini, saya tiba-tiba sahaja mendengar satu siaran yang pada masa itu disebut siaran bahasa baku yang disiarkan oleh perbadanan penyiaran timur jauh [FEBC]. Siaran ini berlangsung selama setengah jam bermula dari pukul 6.15 petang sehinggalah ke jam 6.45.

Bermula dari saat itu saya terus membuat azam saya untuk tetap mendengar siaran tersebut untuk hari-hari yang berikutnya. Saya amatlah tergerak hati apabila mendengarkan siaran tersebut yang menyatakan tentang kebenaran Allah dan juga kasih Allah yang mempunyai kesanggupan untuk seluruh manusia yang telah berdosa dan kehilangan kemuliaan Allah.
Saya amat tersentak dengan kenyataan yang menyatakan bahawa kita semua sudah pun kehilangan kemuliaan Allah, tidak mampu lagi berbuat baik dan berkenaan kepada Allah. Di penghujung rancangan tersebut, penyampai acara sering mengajak pendengar untuk menyambut cabaran untuk menerima Kristus sebagai juruselamat.

Cerita ini tidak berhenti di sini sahaja. pada tahun yang sama juga, beberapa orang rakan saya sudah pun mula mengajak saya ke gereja yang mereka sering hadiri selama ini. Mereka juga sering mengajak pemimpin gereja untuk datang untuk sama kongsikan firman Tuhan di asrama kami tinggal pada masa itu. Puji Tuhan! Saya pun menerima kristus dan mula aktif dalam kegiatan gereja serta membaca firman yang sudah pastinya menjadi dasar kepada pertumbuhan iman percaya kita.

Kerana kegemaran saya terus-menerus ada dalam hal mendengar siaran kristen dari khususnya dari Indonesia, maka Tuhan membukakan lagi jalan-Nya untuk berbuat demikian. Pada tahun 2008, hasil kesungguhan saya dalam menjalani latihan komputer yang disediakan oleh persatuan kami, saya dengan berkat dan kemurahan Tuhan diberikan kemampuan untuk memiliki sebuah laptop.

Untuk pengetahuan semua, kami dari kalangan golongan yang tidak dapat melihat, kami menggunakan speech reader seperti jaws untuk menulis dan juga membaca dalam komputer.

Seperti yang pernah Rasul Paulus katakan bahawa: “Sebab di dalam Dia kamu telah menjadi kaya dalam segala hal: di dalam segala macam perkataan dan pengetahuan” 1 Korintus 1:5.

Saya akhirnya mempunyai beberapa kesempatan untuk mendengar siaran kristen seperti Heartline FM, Nafiri FM, Elshaddai FM, dan beberapa lagi termasuk juga yang di luar rantau kita seperti siaran the House FM.

Ini juga saya merasakan saya mempunyai semangat yang tinggi untuk terus bersaksi kepada orang lain. “Tetapi mereka mengalahkan dia, iaitu iblis dengan darah Anak Domba, dan perkataan kesakian mereka, kerena mereka tidak mengasihi nyawa mereka sampai ke dalam maut”.

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana mendapat kesempatan yang berharga ini. Ini berlaku bukan kerana kepandaian dan kekuatan saya, tetapi kerana kemurahan dan kuasa Tuhan. tidak menjadi masaalah jikalau saya tidak dapat pergi ke tempat yang jauh untuk menginjil, saya dan anda dapat menginjil bahkan dengan menekan butang (tombol) komputer kita. Puji Tuhan!

*courtesy of PelitaHidup.com
Kesaksian ini dibagikan oleh Sim Patrik pada Pelita Hidup Community:

Tidak ada komentar:

Posting Komentar